Khamis, 9 Oktober 2008

Disabled to Disabled Services

Kecekalan OKU merupakan nadi yang memastikan seseorang OKU itu mampu menempuhi segala rintangan. Apatah lagi sekiranya seseorang yang cukup sifat fizikalnya tiba-tiba menjadi OKU. Bolehkah dia menerima dugaan hidup ini dengan menganggap apa yang ditempuhinya sebagai rahmat disebalik-Nya?

Apa yang saya ingin berkongsi di sini ialah kisah kecekalan seorang OKU. Kisah di mana kuasa kecekalan OKU tersebut bukan sahaja memberi harapan untuk beliau terus cekal menempuhi liku-liku hidup sebagai insan OKU, malah kecekalan beliau untuk membantu OKU lain dapat meneruskan perjalanan. Itulah beliau, Steve Chin.

Dalam menjalankan perniagaan membina laman web, saya telah berkenalan dengan seorang OKU. Beliau mempelawa saya untuk ke ‘pejabat’nya bagi membincang keperluan laman web yang dikehendaki untuk perniagaannya. Seperti kebanyakan OKU lain, ‘pejabat’ juga adalah rumah kediaman. Apa yang lebih hebat ialah ‘pejabat’ beliau bukan sahaja rumah, tetapi juga kilang. Kilang pengeluaran ‘kaki’ yang amat diperlukan OKU berkerusi roda, iaitu kilang kerusi roda elektronik.


Steve Chin yang berasal dari Johor merupakan insan OKU yang berhati waja. Tanggal 19 March 1985 merupakan titik permulaan Steve mengasah kecekalannya. Disebabkan satu kemalangan jalan raya ketika beliau bekerja di Singapura, Steve menjadikan hospital sebagai tempat ‘kediamannya’ selama satu tahun. Dalam satu tahun itu juga merupakan peristiwa ‘peperangan’ antara jiwa dan kenyataan serta hakikat yang perlu diterima oleh beliau. Badan beliau lumpuh. Kaki menjadi kaku dan tangan tidak mampu bergerak lagi.


Steve bersyukur setelah beliau memahami bahawa setiap peristiwa yang berlaku ada rahmat disebalik-Nya. Setelah gigih melatih tangan beliau dengan menggunakan otot-otot yang termampu, akhirnya beliau mampu memegang sesuatu. Walaupun tidak sekuat dulu, namun yang paling penting ialah mampu mengurus buang air besar dan kecil dengan sendiri. Itulah langkah pertama yang beliau inginkan untuk menempuh beratus ribu langkah yang seterusnya.
Setelah sekian lama hidup sebagai insan OKU, kini Steve Chin mampu dianggap ‘best of the best’ di kalangan OKU. Beliau bukan sahaja mampu berdikari, malah memiliki perniagaan yang murni, iaitu menghasilkan kerusi roda elektronik. Kerusi roda beliau merupakan kerusi roda elektronik pertama keluaran tempatan, dan kerusi roda elektronik yang dihasilkan oleh OKU sepenuhnya!


Saya begitu kagum dengan keazaman beliau. Beliau mampu mengharungi kehidupan sebagai OKU yang lumpuh, beliau memberi peluang kerja kepada OKU lain untuk sama-sama menghasilkan kerusi roda elektronik, beliau mampu menawarkan kemudahan kepada OKU yang memerlukan pergerakan yang lebih sempurna, dan beliau patut menjadi kebanggaan kita semua kerana berjaya mengeluarkan kerusi roda elektronik buatan tempatan.


Menerut Steve, apa yang beliau capai hari ini hanyalah permulaan. Beliau bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan lain yang sama-sama mengusahakan perniagaannya. Namun berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Selain daripada kemahiran selok belok perniagaan yang menjadi masalah, perniagaan beliau juga tidak terkecuali daripada perspektif masyarakat yang merendahkan kemampuan OKU. Apa yang diperlukan oleh Steve bukanlah kasih simpati, tetapi peluang. Peluang untuk beliau dan rakan-rakan OKU lain untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan Negara. Oleh itu, saya rasakan perniagaan Steve haruslah dibantu oleh sektor kerajaan di bawah jabatan tertentu atau yang berkenaan. Bantuan tersebut lebih kepada slogan ‘Instead of giving fish, teach them how to fish!’


Laman web perniagaan beliau telah berjaya dibina oleh kami. Untuk sesiapa yang berminat mengenali insan OKU yang berhati waja ini, silalah kunjungi http://www.dtodservices.com/. D to D Services adalah nama perniagaan beliau yang bermaksud Disabled to Disabled Services. Saya menyeru kepada sesiapa yang mengunjungi laman web beliau, tolong hebahkan laman web beliau untuk kenalan anda, sama ada dengan email atau SMS. Mungkin anda dak memerlukan perniagaan yang dijalankan oleh beliau, tetapi kemungkinan ada orang lain yang amat memerlukan kerusi roda elektronik tersebut. Jasa anda bukan sahaja membantu beliau, malah anda sama-sama menyumbang aktiviti ke arah masyarakat penyayang. Terima kasih.