Layanan Istimewa McDonald KL Central terhadap OKU
Dalam kempen membina masyarakat penyayang, kita sering dihidangkan melalui media tentang pelbagai kisah cabaran hidup orang kurang upaya (OKU). Cabaran hidup OKU termasuklah kegiatan harian mereka dalam mencari rezeki, pelajaran, perubatan, riadah dan sebagainya. OKU biasanya dikategorikan mengikut jenis kecacatan seperti anggota, penglihatan, bisu dan akal, Tahap kecacatan mereka pula menunjukkan sejauh mana cabaran mereka dalam kegiatan harian. Ini terbahagi kepada tahap ringan, tahap sederhana, tahap berat, dan tahap amat berat.
Untuk lebih memahami cabaran hidup OKU, kita perlulah memahami jenis-jenis tahap OKU yang dijelaskan di atas. Tahap ringan ialah mereka yang mempunyai kecacatan yang sedikit, di mana segala urusan harian boleh dilakukan tanpa sebarang bantuan orang lain atau peralatan khas. Contohnya OKU yang kudung sebelah tangan, samada di pergelangan tangan mahupun dari siku ke atas, OKU pekak bisu dan lain-lain. Tahap sederhana pula ialah OKU yang menggunakan peralatan khas untuk kegiatan harian mereka. Mereka boleh melakukan kerja tanpa bantuan orang lain dengan adanya peralatan tersebut, contohnya OKU yang mengguna kerusi roda dan OKU penglihatan menggunakan tongkat mereka. OKU tahap berat ialah mereka yang memerlukan bantuan orang lain dalam sesuatu kegiatan. Ini mungkin disebabkan anggota mereka seperti kedua-dua belah tangan dan kaki tidak dapat berfungsi dengan sempurna atau kudung. Manakala OKU tahap amat berat ialah mereka yang mempunyai gabungan kecacatan, iaitu anggota, pancaindera, atau mental. Contohnya kedua-dua belah kaki dan tangan cacat dan pada masa yang sama tidak dapat bertutur dengan jelas.
Kehidupan OKU yang serba mencabar memberi mereka semangat untuk mengharungi liku-liku hidup ini. Tidak dinafikan juga ada OKU yang tidak dapat menerima cabaran tersebut dan akhirnya kecundang dalam dugaan hidup. Mereka ini memilih untuk menagih simparti orang ramai sebagai sumber rezeki, iaitu sebagai peminta sedekah. Ini berbeza pula sekiranya OKU tersebut menggunakan apa sahaja anggota yang masih ada untuk mencari rezeki, contohnya OKU penglihatan menggunakan kepandaian bermain alat muzik untuk menghiburkan orang ramai di kaki lima. Bagi saya, duit yang dilontar kepada mereka bukanlah duit sedekah, tetapi bayaran atas hiburan yang diberi.
Kita lihat pula bagaimana orang ramai yang digolongkan TIDAK OKU berhadapan dengan golongan OKU. Mereka ini saya boleh golongkan kepada beberapa kategori juga, iaitu Pertama: beranggapan golongan OKU sebagai beban masyarakat; Kedua: golongan OKU sebagai mereka yang tidak upaya dan dipandang hina; Ketiga: golongan OKU tiada apa-apa yang berbeza dan itu adalah nasib mereka; Keempat: golongan OKU sebagai mereka yang cekal dan bantuan patut diberikan demi kemanusiaan; dan Kelima: golongan OKU sebagai mereka yang memberi inspirasi dalam hidup mereka. Dengan kategori tersebut, mungkin kita dapat memahami kategori manakah individu TIDAK OKU tersebut apabila berhadapan dengan OKU.
Kisah yang ingin saya kongsi bersama di sini ialah pengalaman sendiri ketika singgah di restoran makanan segera Mc Donald di KL Central. Saya sebenarnya golongan OKU tahap ringan, iaitu kudung di sebelah tangan kanan tanpa siku.
Ketika melangkah masuk ke perkarangan restoran itu sambil menggalas beg komputer riba, seorang pekerja yang lengkap beruniform menyapa dengan senyuman dan bertanya samada saya ingin pesan bungkus atau duduk makan. Saya menjawab bahawa saya ingin duduk makan. Lantas dia menunjuk ke arah tempat-tempat duduk kosong sambil mengeluarkan kertas untuk mendapatkan pesanan. Dengan wajah yang penuh keceriaan dia menanyakan pesanan saya lalu mencatatkan menu yang saya pesan. Apabila siap mencatat, dia terus pergi ke kaunter untuk membuat pesanan. Ketika itu saya sangkakan saya perlu ke kaunter untuk membuat bayaran, tetapi dia datang kembali dengan membawa resit. Dia menyerahkan resit tersebut dan saya bertanya samada perlu membayar di kaunter, dengan senuyuman manis dia menjawab bahawa dia akan bantu saya untuk membayar di kaunter.
Selepas itu dia kembali dengan menatang makanan yang dipesan sambil membawa wang baki. Tidak cukup dengan itu, dia bertanyakan samada saya perlukan sos cili atau tomato. Akhir sekali dia membawa kedua-dua sos cili dan tomato untuk saya sambil berkata panggilkannya sekiranya saya perlukan apa-apa bantuan lagi. Saya sempat melihat tag namanya yang tertera Puteri.
Mungkin pengalaman saya di atas hanyalah kisah yang biasa di sebuah restoran makanan segera. Namun, setiap gerak-geri dan layanan yang diberikan oleh Puteri jelas menunjukkan dia mempunyai naluri untuk berkhidmat dengan cemerlang, dan dia berkhidmat dengan penuh minat serta gembira. Kepekaannya terhadap layanan terbaik untuk OKU dapat saya rasakan walaupun saya sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk beratur dan menatang makanan ke tempat duduk. Oleh itu keceriaan yang terpancar di wajahnya menunjukkan keikhlasannya memberi layanan bukan secara paksa tetapi melalui hati nalurinya.
Saya percaya sekiranya setiap pekerja di negara kita dapat bekerja seperti Puteri, negara kita bukan sahaja mempunyai imej bermasyarakat penyayang dan perihatin, malah sebuah negara yang bersasiah tinggi dan tamadun.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan